Bapa dua kanak-kanak cedera akibat mercun disiasat

Bapa dua kanak-kanak cedera akibat mercun disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Polis menahan bapa dua kanak-kanak yang cedera akibat bermain mercun di Padang Terap, baru-baru ini bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian yang mengakibatkan tangan seorang mangsa kudung. 

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, penahanan lelaki berusia 30 tahun pada 24 Mac lepas bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. 

Katanya, polis kini melengkapkan siasatan dan akan merujuk hasil siasatan kepada pendakwa raya dalam masa terdekat untuk arahan selanjutnya. 

“Siasatan awal mendapati itu bukan bunga api yang dibenarkan polis. Dia guna mercun bola itu bukan sekadar orang yang kena (cedera), yang duduk dalam hutan pun lari. 

“Kita ada dua kes iaitu satu di Padang Terap dan Kubang Pasu. Kepada semua warga Kedah cukuplah ada dua insiden ini termasuk bermain bunga api sampai terbakar. Tumpukan ibadat, jangan rosakkan malam-malam terakhir ini jadi tragedi,” katanya dalam sidang akhbar sempena Aidilfitri 2025 di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini hari ini. 

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kubang Pasu daripada Asisten Komisioner Mohd. Redzuan Salleh kepada Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim. 

Tambahnya, lelaki berkenaan yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis setelah diambil rakaman percakapan itu turut disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001. 

Mengulas lanjut kata Fisol, jika disabitkan kesalahan lelaki itu boleh dipenjara tidak kurang lima tahun atau denda sehingga RM50,000 atas kesalahan memiliki bahan letupan atau penjara sehingga 20 tahun atau bagi kesalahan membiarkan kanak-kanak berada dalam situasi boleh menyebabkan kecederaan. 

“Mangsa berusia tujuh tahun yang parah dalam kejadian ini masih menerima rawatan rapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sementara adiknya berusia empat tahun sudah dibenarkan pulang,” katanya. 

Sementara itu kata beliau, pihaknya turut mengesan mercun yang mendapat permintaan tinggi itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran. 

“Memang dibawa dari luar kawasan kita. Kita lihat terdapat daerah bersempadan seperti Kubang Pasu dan Padang Terap dan daripada maklumat mercun ini dibawa kerana permintaan ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN