Bantuan khas RM11 juta untuk mangsa banjir di Johor

Bantuan khas RM11 juta untuk mangsa banjir di Johor 

Onn Hafiz mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir di Saujana, Johor Bahru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima berjumlah lebih RM11 juta bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan sebanyak RM3,000 akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri kepada 3,749 ketua isi rumah (KIR) yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh daerah terjejas.

Menurutnya, bantuan ini merupakan hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).

“Mangsa banjir yang terjejas tetapi tidak sempat mendaftar di PPS masih boleh mengemukakan rayuan untuk pertimbangan bantuan. Permohonan boleh dibuat di Pejabat Daerah yang terlibat, termasuk Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Batu Pahat sehingga akhir April 2025,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut prihatin terhadap peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri yang terjejas akibat banjir di kawasan-kawasan yang dikenal pasti.

“Bagi meringankan beban mereka, kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas RM500 kepada setiap peniaga yang terjejas di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT). Bantuan ini akan memanfaatkan 441 peniaga di dua PBT yang terlibat,” katanya.

Peniaga yang menerima bantuan tersebut merangkumi Bazar Tebing Dato’ Onn (48 peniaga), Bazar Jalan Pandan Ria 3 (30 peniaga), Bazar Jalan Mata Kucing, Kampung Pasir (66 peniaga), Bazar Pesiaran Dahlia (150 peniaga) dan Bazar Aidilfitri Majlis Daerah Kota Tinggi (147 peniaga).

Selain itu, kerajaan negeri melalui sembilan PBT termasuk MBJB, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Batu Pahat, Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Pontian, Majlis Daerah Simpang Renggam, dan MDKT telah bersetuju memberikan pengecualian semua caj kecuali sewaan kepada peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri yang terjejas.

“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 9,839 peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di 180 lokasi seluruh negeri,” tambahnya.

Dalam usaha membantu institusi yang terjejas, kerajaan negeri turut memperuntukkan bantuan baik pulih kepada enam masjid, 17 surau serta 43 institusi pendidikan yang melibatkan sekolah agama, sekolah rendah, sekolah menengah dan kolej vokasional yang terkesan akibat banjir.

Datuk Onn Hafiz menegaskan bahawa kerajaan negeri komited dalam memastikan kebajikan rakyat yang terjejas akibat bencana ini terus dibela.

“Kerajaan Negeri Johor amat berdukacita dengan bencana banjir yang memberi kesan kepada 13,089 mangsa daripada 3,749 keluarga dengan pembukaan sebanyak 100 PPS di enam daerah terjejas.

“Semoga segala bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir serta memberikan sinar harapan kepada mereka untuk bangkit semula. Insya-Allah,” katanya.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya