KUALA LUMPUR: Sebanyak 76 syarikat dan badan korporat serta orang perseorangan memberikan sumbangan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bernilai RM1,956,420 bersempena Hari Raya Aidilfitri ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sumbangan itu bagi menzahirkan ingatan, doa serta sokongan berterusan kepada semua anggota ATM yang cekal bertugas di perbatasan di dalam dan luar negara pada hari lebaran.
“Adalah sangat penting untuk kita semua menzahirkan ingatan, sokongan serta penghargaan kepada semua anggota kita yang bertugas pada hari lebaran nanti.
“MINDEF sangat berbesar hati meneruskan tradisi menyediakan bekalan raya untuk pasukan ATM yang akan bertugas di seluruh negara dan di negara-negara berkonflik yang sedang kita bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2025 di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini.
Tambah Mohamed Khaled, menerusi sumbangan itu juga, ATM mampu menyediakan 15,000 Beg Hari Raya.
Katanya, ia akan diserahkan kepada semua Perwira dan Prajurit ATM yang sedang bertugas menjaga keselamatan perbatasan dan kesejahteraan negara.
“Ini adalah sebahagian usaha oleh Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) pada Februari lalu.
“Usaha ini dilakukan secara gotong-royong bersama anggota ATM sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka yang terpaksa menyambut Aidilfitri tanpa keluarga di sisi,” katanya. – UTUSAN