PETALING JAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan mengeluarkan 300 Lesen Perubahan Sementara kepada pengusaha bas ekonomi bagi menampung permintaan tinggi sempena perayaan Aidilfitri ini.
Agensi itu memberitahu, tambang siling bas ekonomi kekal pada kadar RM0.093 setiap kilometer dengan tambahan 10 peratus pada musim perayaan, manakala tiada tambang siling bagi bas eksekutif.
“Perkhidmatan ekonomi menyediakan bas berhawa dingin dengan kemudahan asas, sementara perkhidmatan eksekutif menawarkan lebih keselesaan termasuk tempat duduk luas, makanan ringan, dan pemain multimedia digital.
“APAD turut menjalankan pemantauan rapi bagi memastikan pematuhan terhadap kadar tambang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut APAD, pusat penjualan tiket turut diarahkan untuk memaparkan perbezaan antara tiket ekonomi dan eksekutif dengan lebih jelas.
“Hasil pemantauan mendapati wujud kekeliruan di mana pengguna tersalah membeli tiket eksekutif kerana maklumat kurang jelas,” katanya.
Selain itu, APAD akan mengkaji semula dasar tambang yang terakhir disemak pada 2013, termasuk cadangan memperkenalkan tambang siling bagi bas eksekutif dan dijangka mengambil masa kerana melibatkan pindaan undang-undang.
“Pengendali bas diingatkan agar mematuhi jadual tambang yang ditetapkan. Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), yang membolehkan lesen pengendali digantung atau dibatalkan,” katanya. – UTUSAN