KUALA LUMPUR: “Kalaulah saya boleh ulang balik masa, saya mahu jadikan hidup saya sempurna.”
Demikian luahan penyanyi, Ameng Spring, yang kesal pernah terjerat dalam penyalahgunaan dadah sekitar tahun 1997 sehingga dihukum penjara pada tahun 2011.
Menurut Ameng, sebelum dirinya terjerumus dalam kegiatan penyalahgunaan dadah, dia kerap ditawarkan untuk minum minuman keras bagi memenuhi kehendak individu yang dipercayai pelanggannya.
“Saya mula mengambil dadah pada tahun 1997 dan ditangkap pada tahun 2011. Sebenarnya saya bukan terus ambil dadah, ketika itu saya sering ditawarkan dengan minuman keras.
“Saya pula orang kampung, saya menganggap minuman keras ini terlalu berat untuk saya. Individu yang tawarkan itu adalah pelanggan, jadi kita perlu mengambil hati dia.
“Tetapi saya katakan padanya, saya tidak boleh ambil arak sebab haram,” katanya menerusi sebuah video yang tular di TikTok.
Meskipun sudah menolak, Ameng mengakui dia mula terjebak dalam pengambilan barang terlarang tersebut selepas terumpan dengan ‘pujukan’ pelanggan terbabit.
“Akhirnya dia tawarkan saya dengan dadah, katanya kalau tak nak minum arak makanlah ini (dadah), ringan sedikit. Saya bermula dengan mengambil dadah jenis estacy.
“Bila saya makan sebiji, esoknya rasa lain kalau saya tak ambil lagi. Saya fikir ianya ringan, tetapi sebenarnya ia boleh menjerat,” jelasnya.
Enggan episod hitam itu terus menjerat dirinya, Ameng berharap agar kisahnya menjadi contoh kepada masyarakat supaya berfikir secara rasional sebelum membuat sebarang keputusan.
“Sebenarnya setiap manusia ada akal fikiran. Kita sudah tahu sama ada sesuatu perkara itu salah atau tidak. Sepatutnya kita guna akal fikiran dengan sewajarnya,” ujarnya.
Sekadar info, Ameng pernah dihukum penjara atas kesalahan mengambil dadah pada tahun 2011 sebelum dibebaskan pada tahun 2016. – UTUSAN