PUTRAJAYA: Harga barangan asas bagi keperluan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini berada dalam keadaan terkawal.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia hasil pemantaun dilakukan dua kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Kabinet hari ini turut merakamkan ucapan tahniah diatas usaha dilakukan KPDN dan KPKM.
“Kita juga lihat ada peranan yang dimainkan oleh pemain industri yang telah memberikan kerjasama penuh kepada KPDN dan juga KPKM.
“Pada masa sama, kita juga lihat beras putih tempatan telah mula sampai ke pelbagai lokasi di seluruh negara dan pihak KPKM secara berterusan telah berusaha mengenalpasti tempat-tempat yang belum memperoleh beras putih tempatan itu.
“Malah ada dalam kalangan menteri yang menyatakan di sesetengah tempat harga telur pun turun menjelang Aidilfitri ini,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Katanya, penurunan harga dan bekalan beras itu memberi petanda yang agak positif kepada rakyat bagi mendapatkan beras dan telur pada harga murah.
Fahmi berkata, beliau juga mencadangkan supaya orang ramai memanfaatkan aplikasi Price Catcher KPDN bagi mengenalpasti lokasi menjual produk barangan asas pada harga berpatutan.
“Kita boleh buat perbandingan harga bagi premis yang berbeza dan produk yang sama. Jadi manfaatkankan aplikasi Price Catcher,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri juga menyatakan kepada Jemaah Menteri bahawa Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2025 berjumlah RM500 termasuk kenaikan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dinikmati penjawat awam dinikmati penjawat awam membabitkan jumlah yang signifikal dan berjaya dilakukan Kerajaan Madani.
Beliau berkata, pada Disember tahun lepas, gaji pejabat awam yang telah menandatangani SSPA telah naik dalam purata lapan peratus dalam fasa pertama manakala fasa kedua akan dilaksanakan pada hujung tahun ini bagi kenaikan kedua.
Fahmi berkata, pada Januari lalu, kenaikan gaji tahunan berkuat kuasa yang menyaksikan kenaikan antara tujuh ke 15 peratus berpandukan gred masing-masing manakala Februari lepas, BKK telah diberi berjumlah RM500 seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri sewaktu pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu.
“Baru-baru ini, Perdana Menteri juga telah mengumumkan BKK Aidilfitri buat pejabat awam sebanyak RM500 bagi Gred 56 ke bawah dan RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen dan juga guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan BKK Aidilfitri berjumlah RM500 kepada 14,000 penjawat awam di Terengganu.
“Ini antara usaha kerajaan untuk memastikan rakyat terus menerima bantuan dan insyaAllah kita harap ia akan menceriakan terutama menjelang Aidilfitri bagi rakyat Malaysia, terutama di kalangan para penjawat awam,” katanya. – UTUSAN