HULU TERENGGANU: Agihan keuntungan akhir Felcra Berhad tahun lalu mencatat peningkatan luar biasa sebanyak 154 peratus atau RM116 juta melebihi tahun sebelumnya.
Berikutan itu, seramai 68,362 peserta Felcra Berhad menerima agihan keuntungan boleh agih akhir 2024 sebanyak RM192.51 juta.
Dengan peningkatan ini, purata pendapatan bersih setahun seorang peserta meningkat kepada RM4,420 per hektar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan perkara itu berkata, jumlah tersebut diraih daripada 583 projek yang mencatat keuntungan di seluruh negara.
“Pembayaran ini dilakukan secara berperingkat bermula hari ini,” katanya pada Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek-Projek Peserta Felcra Berhad di Kampung Kuala Akob di sini, hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Idris Lasim.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan WIlayah berkata, secara keseluruhan, Keuntungan Boleh Agih Tahun 2024 adalah sebanyak RM521.9 juta, iaitu peningkatan 138 peratus berbanding 2023.
Menurut beliau, Felcra Berhad menyalurkan beberapa fasa pembayaran kepada peserta iaitu lebih RM96 juta pada Interim 1, Jun tahun lalu.
Kata beliau, fasa Interim 2 pula dibayar pada September 2024 berjumlah lebih RM129 juta.
“Pembayaran bulanan sepanjang 2024 pula berjumlah lebih RM104 juta,” katanya.
Sementara itu, Felcra Berhad dalam kenyataannya memaklumkan, kejayaan itu didorong oleh beberapa faktor utama termasuk peningkatan hasilladang kelapa sawit dalam Program Penyatuan dan Pemulihan (P&P) yang mencatat peningkatan 9.24 peratus atau 1.44 metrik tan per hektar.
Selain itu, katanya, pelaksanaan strategi penjimatan kos pengeluaran turut menyumbang dengan pengurangan kos lebih RM401 per hektar sekali gus meningkatkan keuntungan boleh agih kepada peserta.
“Matlamat Felcra adalah untuk memastikan setiap peserta menerima agihan keuntungan minimum RM150 setiap ekar setiap bulan atau RM1,800 setiap ekar setahun sebagai jaminan kesejahteraan kepada peserta.
“Dengan sokongan kukuh daripada KKDW serta pendekatan strategik yang lebih mampan, Felcra optimis mencapai sasaran lebih tinggi bagi tahun-tahun mendatang selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa sektor luar bandar,” katanya.– UTUSAN