PETALING JAYA: Tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang 30 Mac ini di 29 lokasi di seluruh negara.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam kenyataan memaklumkan tarikh 1 Syawal untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri akan diumumkan pada malam tarikh sama.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Syawal ialah pada petang hari Ahad, 30 Mac 2025 Masihi bersamaan 29 Ramadan 1446 Hijrah,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan memaklumkan, dipersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
Lokasi cerapan termasuklah di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Melaka; Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; Stesen Cerapan Hilal Kampung Pulau Sayak dan Menara Alor Setar di Kedah.
Lokasi melihat anak bulan di Terengganu adalah di Stesen Cerapan Hilal Bukit Besar, Bukit Geliga, Pulau Perhentian serta Balai Cerap KUSZA manakala di Kelantan di Stesen Cerapan Hilal Bukit Kampong Tembeling, Menara Bangunan SEDC serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh di Kelantan.
Di Sarawak, lokasi cerapan di Pusat Falak Miri dan Bintulu serta Teluk Bandung di Sarawak.
Lokasi lain termasuk Menara 188 Kuantan, Tapak Cerapan Hilal Bukit Tanjong dan Gunung Berincang di Pahang; Balai Cerap Al-Biruni serta Menara Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sabah, dan Menara Kuala Lumpur, selain Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis.-UTUSAN