KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengeluarkan sebanyak 22 notis kompaun bernilai RM2,800 dalam tempoh empat hari Ramadan bermula 2 Mac lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, notis kompaun tersebut dikeluarkan atas beberapa kesalahan antaranya menggaji pekerja tiada suntikan anti tifoid, tidak patuh dengan pakaian pengendali makanan dan kebersihan diri pengendali makanan.
“Semua kesalahan ini dikesan hasil pemeriksaan ke atas 840 tapak bazar Ramadan di seluruh Terengganu. Sebanyak 102 pasukan terdiri daripada 410 anggota ditugaskan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di bazar-bazar sepanjang Ramadan kali ini.
“Selain bazar Ramadan, pemeriksaan terus dijalankan di pasar raya, kedai runcit dan lain-lain pembekal bahan mentah untuk memastikan semua aspek kebersihan dan keselamatan makanan dipatuhi,” katanya selepas mengadakan kempen keselamatan makanan sempena Ramadan di Bazar Teluk Ketapang di sini, semalam.
Pada tahun ini, terdapat sebanyak 70 lokaliti bazar Ramadan melibatkan 4,351 tapak perniagaan di seluruh Terengganu.
Daripada jumlah itu, 57 lokasi dengan 4,117 tapak perniagaan adalah berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 13 lokasi dengan 234 tapak perniagaan pula adalah bazar persendirian.
Menurut Dr. Kasemani, Jabatan Kesihatan Negeri juga telah mengambil 22 sampel makanan antaranya ayam masak merah, nasi kerabu, ayam kerutuk, gulai terung dan ayam paprik di beberapa bazar Ramadan secara rawak untuk pemeriksaan.
“Pengambilan sampel bertujuan bagi analisis dan pematuhan Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya. Tahun lalu, sebanyak 83 sampel diambil dan 10 sampel didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan dan dikenakan tindakan perundangan,” katanya. – UTUSAN