21 warga asing ditahan bersama e-waste bernilai RM117.5 juta - Utusan Malaysia

21 warga asing ditahan bersama e-waste bernilai RM117.5 juta

SERBUAN yang dijalankan di dua kilang e-waste berjaya menahan 22 individu termasuk 21 warga asing di Pulau Pinang dan Perak, Rabu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 21 warga asing antara 22 individu yang ditahan dalam operasi berasingan di kilang yang menjalankan aktiviti kitar semula sampah elektronik (e-waste) di Pulau Pinang dan Perak membabitkan rampasan berjumlah RM117.5 juta.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dalam serbuan di Pulau Pinang, ia dijalankan bermula pukul 10 pagi hingga 12 malam, Rabu lalu oleh Cawangan Risik Batalion 3, Risik Batalion 1 PGA dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.

Katanya, dalam operasi itu, seorang lelaki warga tempatan ditahan bersama seorang lelaki dan wanita warga Myanmar.

“Hasil pemeriksaan mendapati kilang tersebut bukan sahaja beroperasi tanpa sebarang lesen dan surat kelulusan JAS, malah menggajikan pekerja warga asing tanpa dokumen yang sah.

“Dalam operasi itu, kita membuat rampasan bijih besi, mesin, jentera dan e-waste membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM106.7 juta,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, serbuan juga dijalankan oleh Cawangan Risik Briged Utara, Risik Batalion 1 PGA bersama Jabatan Alam Sekitar Perak di sebuah kilang plastik di Sungkai pada hari sama.

Katanya, dalam operasi itu, pihaknya berjaya membuat tangkapan seramai 19 warga asing dan membuat rampasan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM10.7 juta.

“Siasatan bagi kedua-dua kes dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bersama Seksyen 18 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Tambah beliau, Briged Utara PGA giat melakukan pengawasan dan rondaan sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, pihaknya komited dan konsisten dalam menggerakkan penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi dalam hal melibatkan penyelewengan barang keperluan harian yang merupakan antara kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga.

“Masyarakat diseru supaya menjadi mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN