13 lelaki Nepal cetuskan rusuhan direman empat hari - Utusan Malaysia

13 lelaki Nepal cetuskan rusuhan direman empat hari

WARGA Nepal yang merusuh di hadapan kilang di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seramai 13 lelaki warga Nepal yang terlibat dalam cubaan mencetuskan rusuhan di hadapan sebuah kilang sarung tangan di Batu 8, Jalan Changkat Jong di sini semalam, ditahan reman selama empat hari mulai hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, perintah reman sehingga Selasa depan itu diperoleh selepas kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pagi tadi.

Katanya, permohonan reman itu dikemukakan pihak polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Kesemua yang ditahan itu merupakan pekerja kilang warga Nepal berusia 24 hingga 39 tahun selepas disyaki mencetuskan rusuhan dan menghalang tugas pihak berkuasa.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi yang dikhuatiri mengganggu siasatan. Tindakan tegas akan diambil terhadap individu terlibat berdasarkan peruntukan undang-undang,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Bakri berkata, kejadian rusuhan itu berlaku berikutan kemalangan langgar lari melibatkan seorang lelaki warga Nepal di lokasi berkenaan.

Katanya, dalam kemalangan itu, mangsa berusia 26 tahun maut di lokasi kejadian.

“Kejadian itu menyebabkan kira-kira 1,000 pekerja kilang telah turun ke tempat kejadian dan berkumpul di atas jalan raya sehingga menghalang lalu lintas.

“Sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi bagi menenangkan dan mengawal keadaan. Situasi pulih sepenuhnya pada pukul 2 pagi tadi selepas semua pekerja warga Nepal kembali ke asrama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN