Vaksin influenza percuma kepada warga emas di Melaka

Vaksin influenza percuma kepada warga emas di Melaka

NGWE HEE SEM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) melaksanakan program pemberian vaksin influenza secara percuma kepada warga emas di Melaka yang berusia 60 tahun ke atas bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, individu tersebut hendaklah menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, jantung dan obesiti.

Kata beliau, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif Kementerian Kesihatan untuk melindungi golongan berisiko tinggi.

“Komplikasi serius akibat jangkitan influenza boleh menyebabkan radang paru-paru (pneumonia), sepsis dan kegagalan organ. Pemberian vaksin ini telah terbukti selamat dan berkesan dalam mencegah jangkitan dan komplikasi serius.

“Selain itu, vaksin ini juga mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan warga emas,” katanya.

Tambah Hee Sem, warga emas yang menepati kriteria boleh mendapatkan vaksin influenza dengan membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera. 

Menurutnya, slot janji temu akan diberikan berdasarkan ketersediaan vaksin di semua klinik kesihatan di Melaka. 

“JKN Melaka menyarankan agar warga emas yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi mengambil peluang ini dan membuat janji temu segera. Ini kerana jumlah dos yang tersedia adalah terhad iaitu sebanyak 2,000 vaksin sahaja.

“Pada masa sama, orang ramai terutama warga emas disarankan mengamalkan langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko jangkitan seperti kerap mencuci tangan, mengamalkan etika batuk dan bersin, memakai pelitup muka jika bergejala dan mendapatkan rawatan segera jika mengalami simptom influenza,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN