Vaksin influenza di Pulau Pinang dapat sambutan, slot penuh hingga Mac

Vaksin influenza di Pulau Pinang dapat sambutan, slot penuh hingga Mac

DANIEL Gooi (dua dari kiri) bersama Lim Kim San (dua dari kanan) yang menjadi antara individu terawal menerima vaksin influenza di Klinik Kesihatan Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Program imunisasi influenza kebangsaan yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan mendapat sambutan luar biasa dengan slot janji temu di beberapa klinik kesihatan di Pulau Pinang telah penuh sehingga 28 Mac.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, ketika ini, fasa pertama program yang melibatkan 4,000 dos vaksin influenza telah diedar ke 24 klinik kesihatan di seluruh negeri. 

“Kami menggalakkan orang ramai, khususnya warga emas berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik, untuk mendapatkan suntikan vaksin melalui janji temu dalam aplikasi MySejahtera.

“Orang ramai juga disaran untuk membuat janji temu melalui MySejahtera bagi memastikan pengurusan stok vaksin lebih lancar. Untuk pengetahuan, ada klinik yang telah penuh slot janji temu iaitu sehingga 28 Mac,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, Daniel meluangkan masa meninjau dua warga emas yang menjadi antara individu terawal mendapatkan vaksin influenza di Klinik Kesihatan Jalan Macalister di sini.

Menurut Daniel, meskipun kes influenza di Malaysia masih terkawal berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), vaksinasi tetap penting bagi melindungi golongan berisiko tinggi seperti pesakit diabetes, penyakit jantung, hipertensi, obesiti (BMI melebihi 30), dan penyakit buah pinggang kronik.

Katanya, program ini bukan bersifat wajib, tetapi merupakan inisiatif sukarela bagi memastikan kesihatan warga emas lebih terjaga.

“Kami ingin memastikan setiap janji temu yang telah dibuat akan dipenuhi. Justeru, kami tidak menggalakkan ‘walk-in’ bagi mengelakkan masalah kekurangan dos dan kesesakan di klinik kesihatan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai juga tidak perlu bimbang mengenai situasi influenza di negara ini yang masih terkawal dan tidak menunjukkan peningkatan kes yang membimbangkan.

“Program imunisasi ini akan terus dipantau, dan pihak kerajaan negeri akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang bekas guru, Lim Kim San, 65, berkata, dia secara sukarela mendaftar menerusi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin influenza bagi melindungi diri dan keluarga.

“Saya ada dua orang cucu yang berusia tiga dan enam tahun, saya juga adalah seorang yang aktif yang sering bertemu ramai orang.

“Proses pendaftaran di MySejahtera juga sangat mudah, saya daftar 14 Februari lalu dan hari ini, saya telah dapat slot untuk terima vaksin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN