SHAH ALAM : Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM) dalam satu majlis yang diadakan di sini baru-baru ini sebagai komitmen strategik kedua-dua pihak untuk memperkukuh bidang akademik dan penyelidikan, khususnya dalam usaha memperkasa Institusi Raja-Raja Melayu.
Menurut kenyataan UiTM, majlis bersejarah turut disaksikan oleh wakil pengurusan tertinggi UiTM dan MDDM.
“MoU ini membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk merangka inisiatif strategik yang dapat memperkukuhkan peranan Institusi Raja-Raja Melayu dalam konteks akademik dan pembangunan masyarakat, “ ujarnya.
Katanya, sebagai institusi pengajian tinggi pertama yang menubuhkan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu dengan perkenan Majlis Raja-Raja, UiTM memainkan peranan utama dalam memastikan kesinambungan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu terus terpelihara.
Kursi tersebut kini diletakkan di bawah Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa, yang telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Jun tahun lalu.
Sementara itu, MDDM sebagai organisasi yang menghimpunkan tokoh-tokoh terkemuka dengan darjah kebesaran dan gelaran kehormat daripada Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, dan Yang di-Pertua Negeri, turut berperanan dalam memartabatkan Institusi Raja-Raja Melayu.
Justeru, kerjasama tersebut bakal memperkukuh usaha bersama dalam memelihara dan memperkasa institusi berkenaan.
Melalui MoU ini, UiTM dan MDDM akan melaksanakan beberapa inisiatif utama, termasuk:
Penganjuran simposium dan konferensi bagi meningkatkan kesedaran serta pemahaman masyarakat mengenai Institusi Raja-Raja Melayu.
Pertukaran dan pemindahan maklumat untuk memastikan Institusi Raja-Raja Melayu terus relevan dalam landskap sosio-politik semasa.
Pelaksanaan program penyelidikan dan akademik yang menyokong pemerkasaan Institusi Raja-Raja Melayu.
Promosi dan pelaksanaan inisiatif bersama untuk memperkukuhkan nilai serta kepentingan Institusi Raja-Raja Melayu di Malaysia.
UiTM dan MDDM juga akan menubuhkan jawatankuasa bersama bagi merangka strategi pelaksanaan setiap inisiatif yang dipersetujui. Melalui kerjasama erat ini, kedua-dua pihak akan memastikan usaha yang dijalankan memberi manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada kestabilan negara.
Kerjasama ini bukan sekadar perjanjian formal tetapi merupakan manifestasi komitmen jangka panjang UiTM dan MDDM dalam memastikan Institusi Raja-Raja Melayu terus diperkasa serta relevan dalam pembangunan negara. Usaha ini juga selaras dengan prinsip-prinsip dalam Rukun Negara yang menekankan kesetiaan kepada Raja dan negara.
UiTM yakin bahawa melalui kolaborasi strategik ini, peranan Institusi Raja-Raja Melayu dapat terus dikukuhkan, seterusnya menyumbang kepada kestabilan negara dan kemajuan masyarakat.
Katanya lagi, kerjasama tersebut juga mencerminkan aspirasi UiTM sebagai institusi pendidikan unggul dalam menghasilkan penyelidikan dan kajian berkualiti tinggi yang memberi manfaat kepada negara.-UTUSAN