UA bukan model perniagaan kapitalisme

UA bukan model perniagaan kapitalisme

Universiti Awam (UA) bukanlah model perniagaan kapitalisme yang ditubuhkan untuk menjana keuntungan sebaliknya ia merupakan institusi ‘pelaburan’ penting bagi masa depan negara.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universiti Awam (UA) bukanlah model perniagaan kapitalisme yang ditubuhkan untuk menjana keuntungan sebaliknya ia merupakan institusi ‘pelaburan’ penting bagi masa depan negara.

Ketua Kluster Penyelidikan Undang-Undang & Perniagaan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Dr. Fauzilah Salleh berkata, tindakan mengkategorikan universiti awam sebagai berorientasikan keuntungan adalah satu kesesatan yang nyata.

Katanya, jika kembali kepada asas penubuhan sesebuah universiti awam, ia diwujudkan berasaskan perkhidmatan bukannya menjana kewangan.

“Perkara ini sudah dibahas panjang lebar selama ini, isunya universiti awam diminta menjana hasil daripada kajian dan sebagainya, namun apabila hasilnya tidak mampu menampung perbelanjaan ia dikategorikan sebagai rugi.

“Sedangkan pada satu bahagian lain, gaji tenaga kerja di universiti awam dibayar oleh kerajaan, jadi jika ia ditampung oleh kerajaan bagaimana kira untung rugi sesebuah institusi pengajian tinggi tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 yang menyenaraikan tiga universiti awam (UA) sebagai antara lima agensi Persekutuan mengalami kerugian tiga tahun berturut-turut tertinggi dari 2021 hingga 2023.

Tiga UA terbabit ialah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Menurut LKAN 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, dua lagi agensi yang mencatat kerugian itu ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Fauzilah berkata, universiti terbaik adalah universiti yang tidak berorientasikan keuntungan yang mengikut model kapitalisma sebaliknya menyediakan perkhidmatan untuk menghasilkan generasi graduan terbaik bagi masa depan negara.

Katanya, berbeza dengan universiti milik swasta yang sememangnya berorientasikan keuntungan namun apabila Jabatan Audit Negara (JAN) mengeluarkan laporan sedemikian ia mengundang pandangan serong terhadap universiti awam.

“Sepatutnya universiti awam berjuang melawan naratif songsang sebegini. Kami sudah banyak beban tugas digalas jadi kalau diminta untuk menjana keuntungan dan sebagainya, ini tidak betul.

“Perlu diingat bahawa universiti awam yang besar memerlukan perbelanjaan tinggi termasuk menyediakan makmal-makmal dan sebagainya, jika ia dikira menguntungkan atau kerugian, ia tidak adil.

“Jika universiti awam diminta untuk menjana pendapatan daripada hasil kajian, kita setuju ia bagus, tetapi jika ia dijadikan tempat mengaut keuntungan, itu kesesatan yang nyata,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN