PASIR MAS: Seorang bapa dari Kampung Tanjong di sini, hancur tulang betis sekali gus hilang upaya untuk bekerja selepas motosikal ditunggangmya bersama isteri melanggar sebiji bola sepak di hadapan sebuah sekolah di sini, pada 11 Disember lalu.
Kejadian pukul 4.30 petang itu berlaku semasa Bakri Che Seman@Nordin, 45, bersama Siti Nurashiqah Abdul Azid, 41, dalam perjalanan mengambil anak mereka dari Kelas Asas Fardu Ain (KAFA).
Bakri berkata, sejak kejadian itu, dia tidak dapat mencari rezeki, sekali gus menyebabkan simpanan keluarganya semakin susut.
“Sejak tulang betis kanan hancur, saya tidak dapat berdiri atau berjalan seperti orang lain kecuali dengan bantuan tongkat serta kerusi roda.
“Melihat keadaan sekarang, berkemungkinan besar saya memerlukan masa yang lama untuk pulih. Kalau dapat bekerja selepas ini mungkin tidak sekuat dahulu,” katanya yang bekerja sebagai jurukimpal.
Menurut Bakri, ketika ini dia buntu memikirkan masa depan lima anaknya yang masih kecil.
“Isteri suri rumah sepenuh masa. Namun, selepas kejadian itu dia tidak dapat melakukan kerja-kerja berat, kesan kemalangan tersebut. Bagaimanapun saya sedikit lega, apabila ahli keluarga lain turut membantu,” katanya.
Katanya, semasa dalam perjalanan untuk menjemput anaknya, sebiji bola sepak tiba-tiba bergolek di atas jalan menyebabkan dia tidak dapat mengelak.
Ujarnya, situasi itu menyebabkan motosikal ditunggangnya terbalik lalu menghempap kaki kanan manakala si isteri pula tercampak.
“Selepas kejadian itu saya menerima rawatan selama 38 hari di Hospital Tanah Merah sebelum dibenarkan pulang ke rumah,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang kepada akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), 03027029652122. – UTUSAN