Tukang besi kena penjara 7 tahun, 2 sebatan tetak penganggur

Tukang besi kena penjara 7 tahun, 2 sebatan tetak penganggur

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang tukang besi dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah menetak seorang penganggur hingga cedera parah, minggu lalu.

Hukuman itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Thalha Bachok@Embok Mok hari ini selepas Muhammad Ariff Jilon Majaun, 45, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Ariff Jilon didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki berusia 43 tahun dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging sebagai senjata salah berhampiran Merlin Tower, Jalan Meldrum, di sini pada pukul 2.24 petang, 11 Februari lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan yang berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap 11 Februari lalu.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku pada pukul 2.24 petang, ketika mangsa sedang minum di kawasan terbabit sebelum tertuduh datang menendang motosikal orang awam lalu mangsa menegur perbuatan itu.

Tertuduh berang dan berlaku pertengkaran mulut antara kedua-duanya sebelum tertuduh menghilangkan diri dan tidak lama kemudian datang ke arah mangsa dengan membawa sebilah pisau pemotong daging lalu menetak beberapa kali ke arah kepala mangsa.

Mangsa cuba mempertahankan diri sebelum rebah terbaring berlumuran darah dan kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN