Tingkatkan silibus bahasa Melayu di SJK

Tingkatkan silibus bahasa Melayu di SJK

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan perlu meningkatkan silibus pembelajaran bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) mengikut keperluan pelajar bagi memastikan bahasa kebangsaan itu dapat dikuasai dengan baik.

Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, tiada sebarang keperluan untuk menyelaraskan silibus antara Sekolah Kebangsaan (SK) dan SJK sebaliknya kualiti dan kandungan silibus sedia ada di SJK perlu ditambah baik.

Katanya, silibus yang seragam tidak semestinya sesuai untuk semua jenis sekolah kerana setiap pelajar mempunyai latar belakang dan keupayaan berbeza. 

“Silibus tidak boleh selaras untuk semua, ia mesti bergantung kepada keperluan, keadaan dan keupayaan pelajar.

“Silibus yang baik adalah silibus yang mengambil kira latar belakang pelajar. Kita tidak boleh mengatakan bahawa silibus yang berbeza itu adalah masalah sebaliknya ia adalah sesuatu yang baik kerana mengikut keperluan pelajar.

“Yang lebih penting adalah pada akhirnya semua pelajar tanpa mengira sama ada mereka belajar di SK atau SJK dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan, silibus pelajaran bahasa Melayu antara SK dan SJK dan adalah berbeza sekali gus menimbulkan keraguan terhadap murid Melayu yang tidak menggunakan bahasa rasmi kebangsaan dengan baik.

Kata Anuar, kaedah pengajaran bahasa Melayu di SJK juga perlu diperbaiki kerana tahap penguasaan yang dilihat masih rendah.

Katanya, guru perlu memainkan peranan utama dalam memastikan keberkesanan pengajaran kerana tiada lagi peperiksaan seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai ukuran untuk menilai penguasaan pelajar.

Sementara itu, Pakar Pendidikan, Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, kerajaan perlu lebih tegas memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di sekolah.

Katanya, penguasaan Bahasa Melayu yang baik dalam kalangan setiap pelajar adalah wajar tanpa mengira latar belakang bangsa dan bahasa ibunda yang digunakan di rumah.

“Ini bukan sahaja kepada mereka yang menggunakan Bahasa Mandarin atau Tamil di rumah, tetapi juga kepada mereka yang bertutur dalam dialek seperti Kelantan, Kedah, Terengganu atau bahasa Jawa.

“Bahasa loghat boleh digunakan di rumah tetapi secara rasminya, pelajar dan masyarakat seharusnya mampu menguasai dan berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Melayu. Sebab itu, ia wajar diajar di sekolah termasuk di SJK dengan cara yang betul melalui satu kurikulum yang seragam,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN