Tidak wajar, wujudkan portfolio Menteri Agama bukan islam - Wakil Rakyat PKR

Tidak wajar, wujudkan portfolio Menteri Agama bukan islam – Wakil Rakyat PKR

LEE CHEAN CHUNG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan mewujudkan portfolio Menteri Agama Bukan Islam dianggap tidak wajar dan memberi isyarat negatif terhadap usaha kerajaan mengurangkan saiz Kabinet.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, berkata, kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil langkah mengecilkan jumlah menteri dan timbalan menteri daripada 70 orang ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada 60 orang.

“Penambahan anggota Kabinet akan menghantar mesej tidak baik bahawa kerajaan tidak serius menurunkan defisit yang diwarisi sejak pentadbiran sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Chean Chung yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya berkata, pertambahan portfolio itu akan menyebabkan isu-isu kritikal seperti gaji dan ekonomi rakyat, keselamatan negara serta pelaburan sukar diberi perhatian penuh kerana mesyuarat Kabinet perlu membahagikan masa.

“Perbincangan urusan antara agama juga akan menjadi topik utama dan boleh menjejaskan keutamaan isu-isu lain yang lebih mendesak,” katanya.

Cadangan mewujudkan portfolio berkenaan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui (DAP) dalam perbahasan Dewan Rakyat, Rabu lalu.

Yu Hui mencadangkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua portfolio iaitu Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata, beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan telah lama mempunyai exco hal ehwal bukan Islam dan menyarankan supaya kerajaan Persekutuan mengikut jejak langkah tersebut.

Cadangan itu dipercayai susulan kontroversi mengenai garis panduan umat Islam menghadiri perayaan bukan Islam yang mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Namun, Anwar, berkata, sebelum ini bahawa tiada keperluan untuk mewujudkan garis panduan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya