PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganalisis dokumen berkaitan bagi mengesan berhubung sebarang kesalahan dalam penganugerahan projek bernilai RM4 juta membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau telah berbincang dengan Datuk Bandar, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif semalam berkaitan isu terbabit.
“Beliau (Maimunah) bersetuju untuk berkongsi dokumen mengenai isu ini dengan kami.
“Apa pun, biarkan penyiasat saya menganalisis dokumen-dokumen berkenaan untuk melihat sama ada terdapat sebarang kesalahan yang mewajarkan kami membuka kertas siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, masih terlalu awal untuk mengatakan pasukannya membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu terburu-buru dalam isu ini kerana ia membabitkan dakwaan yang dibuat melalui media sosial.
“Kami akan menjalankan analisis menyeluruh terhadap dokumen yang diberikan kepada kami untuk mengesahkan dakwaan ini terlebih dahulu,” katanya.
Pada 28 Januari lalu, media melaporkan SPRM sedia membantu DBKL dalam siasatan terhadap dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Azam dilapor berkata, setakat ini tiada siasatan dibuka oleh pihaknya berhubung dakwaan itu.
Terdahulu, media melaporkan DBKL melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Menurut dakwaan di media sosial, ahli lembaga penasihat itu dikatakan memegang jawatan dalam syarikat yang dianugerahkan projek berkenaan.-UTUSAN










