Semua isu agama bukan Islam boleh dirujuk kepada Kementerian Perpaduan

Semua isu agama bukan Islam boleh dirujuk kepada Kementerian Perpaduan

AARON AGO DAGANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua isu membabitkan hal ehwal agama bukan Islam boleh dibawa kepada Bahagian Keharmonian Antara Penganut Agama (BKAPA) di bawah Kementerian Perpaduan.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, BKAPA telah lama wujud sebagai salah satu agensi di bawah kementeriannya dan berperanan menangani isu berkaitan agama bukan Islam. 

Katanya, tiada keperluan mewujudkan portfolio menteri khusus bagi hal ehwal agama bukan Islam seperti dicadangkan sebelum ini.

“Ada pelbagai bahagian di bawah kementerian yang boleh menangani isu hal bukan Islam dan ia turut disertai oleh pelbagai pihak termasuk wakil agama.

“Selain BKAPA, kita juga mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) untuk menangani isu sensitif membabitkan agama dan sebagainya,” katanya selepas melancarkan program Jejak Harmoni sempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, semalam.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, mencadangkan agar portfolio menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua bahagian iaitu untuk Islam dan bukan Islam.

Katanya, beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan telah lama mempunyai exco hal ehwal agama bukan Islam dan menyarankan kerajaan persekutuan mencontohi langkah tersebut bagi menjamin hak semua rakyat.

Aaron berkata, beliau bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mempengerusikan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) yang berfungsi mengurus dan menyelesaikan isu-isu berkaitan keharmonian agama di Malaysia.

“Sekiranya ada isu berbangkit, kita bermesyuarat untuk melihat kepada isu dan berbincang, mencadangkan tindakan yang sepatutnya diambil dan menjelaskan keadaan sebenar,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN