SHAH ALAM: Semua syarikat di negara ini boleh memohon untuk membuka pusat pemeriksaan kenderaan motor (PPKM) sekiranya memenuhi syarat ditetapkan Kementerian Pengangkutan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementerian tidak meletakkan had jumlah syarikat yang boleh memohon, seperti didakwa beberapa pihak.
“Apabila kita buka pasaran, kita padankan dan syaratkan kepada syarikat (untuk ikut keperluan ditetapkan) yang memohon untuk membuka pusat ini.
“Jadi jangan hendak main politik. Kalau dahulu masa monopoli, pihak tersebut tidak ada cakap pun,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah Exio Logistics Hub di sini, semalam.
Terdahulu, wujud dakwaan daripada beberapa pihak mengatakan kerajaan memberikan lesen operasi kepada tiga syarikat untuk membuka pusat pemeriksaan, yang mana kesemuanya dipercayai baharu ditubuhkan dan tidak mempunyai pengalaman dalam pemeriksaan kenderaan.
Anthony turut membidas dakwaan itu dengan memberitahu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) juga tidak mempunyai pengalaman dalam pemeriksaan kenderaan pada awal pelaksanaan dasar tersebut.
“Mengapa tidak ada soalan tanya dahulu Puspakom semasa ia ditubuhkan, yang mana Puspakom ada pengalaman tidak?
“Jadi situasi sama seperti Puspakom ditubuhkan pada 1994, dia tidak ada pengalaman. Pada waktu itu, pasaran ini tidak dibuka dan hanya dibuka oleh sebuah syarikat yang diberi konsesi oleh kerajaan,” katanya.
Tambahnya, tiga syarikat berkenaan tidak menerima sebarang kontrak kerajaan, sebaliknya hanya diberikan kelulusan bersyarat.
“Kita bagi kelulusan bersyarat dua tahun kepada syarikat ini untuk menyediakan pusat ini. Selepas pusat ini siap, ia akan diperiksa terlebih dahulu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” jelasnya. – UTUSAN