PETALING JAYA: Pada awal kehilangan Zayn Rayyan Abdul Matiin, seorang saksi beranggapan kanak-kanak autisme itu telah disorok hantu.
Pegawai Khidmat Pelanggan di sebuah syarikat pengangkutan swasta, Ahmad Nur Syaruddin Mad Zawawi, 36, membuat anggapan tersebut kerana sebagai orang Islam, dia perlu percaya kepada alam ghaib.
Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela, Haresh Mahadevan yang mewakili ibu bapa kanak-kanak itu, Zaim Ikhwan Zahari serta Ismanira Abdul Manaf.
Haresh: Sebentar tadi kamu beritahu mahkamah tentang unsur mistik, boleh jelaskan apakah itu?
Ahmad Nur Syaruddin: Kita sebagai orang Islam percaya kepada perkara mistik seperti hantu dan syaitan. Kita masih percaya perkara itu.
Haresh: Jadi kamu percaya ada unsur mistik dalam penemuan jasad Zayn Rayyan?
Ahmad Nur Syaruddin: Bukan pada penemuan jasad. Masa awal kehilangan, saya sangka dia disorok oleh hantu.
Terdahulu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, saksi itu mendakwa kanak-kanak itu disorok oleh mahkluk halus sebelum ditemukan di atas timbunan pasir di tepi tebing sungai berhampiran kediamannya.
Katanya, sebagai seorang Muslim, dia percaya bahawa ada kemungkinan kes ini mempunyai kaitan dengan unsur mistik.
Aqharie Durranie: Terangkan kenapa berjalan ke belakang Blok R (Apartment Idaman), siapa maklumkan?
Ahmad Nur Syaruddin: Tiada yang maklumkan apa-apa, kami terasa (tergerak untuk berbuat demikian) sebab orang Islam fikir kadang-perkara (ada) berkait perkara mistik.
Aqharie Durranie: Setelah jalan ke belakang Blok R, apa yang berlaku?
Ahmad Nur Syaruddin: Kami mulakan pencarian di khemah kemudian ke hilir anak sungai sehingga ke tempat penemuan jenazah.
Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah mengabaikan Zayn Rayyan.
Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. –UTUSAN










