Pulau Pinang buka perpustakaan digital di Universiti Al-Azhar Mesir

Pulau Pinang buka perpustakaan digital di Universiti Al-Azhar Mesir

AHMAD Fuzi Abdul Razak (tengah) merasmikan Perpustakaan Digital Islam Pulau Pinang (PIDL) di Kuliah Syariah dan Undang-Undang, Universiti Al-Azhar, Mesir, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang terus mengorak langkah dalam memperkasa pendidikan Islam apabila Perpustakaan Digital Islam Pulau Pinang (PIDL) kini ditempatkan di Kuliah Syariah dan Undang-Undang Universiti Al-Azhar, Mesir.

Majlis perasmian penempatan PIDL itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di universiti tersohor dunia Islam itu, semalam.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, selain memperkasa pendidikan Islam, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk mengantarabangsakan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan ilmu.

“Dengan penempatan PIDL di Universiti Al-Azhar, kita bukan sahaja mempromosikan Pulau Pinang di peringkat antarabangsa, tetapi turut membina jaringan kerjasama erat dengan institusi ilmu terkemuka bagi manfaat bersama,” katanya.

Terdahulu, Mohamad turut serta bersama rombongan atau delegasi kerajaan negeri yang kini berada di universiti itu untuk tujuan berkenaan.

PIDL merupakan sebuah perpustakaan digital Islam yang diwujudkan kerajaan negeri dan berpusat di Kompleks al-Itqan al-Tarbawi (KITAB).

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, usaha menempatkan PIDL itu juga sejajar dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) serta visi negeri untuk membangunkan ekosistem digital yang kukuh dalam bidang pendidikan Islam.

“Penempatan PIDL di Al-Azhar ini dilihat sebagai penghargaan kepada institusi ini atas sumbangannya dalam melahirkan ilmuwan Islam dari seluruh dunia.

“Justeru, kita mengharapkan agar ia dimanfaatkan dengan sebaiknya dan Pulau Pinang dapat membina kerjasama erat dengan universiti ini bagi pembangunan agama Islam di Pulau Pinang.

“Pada masa yang sama, kita juga berharap agar segala perbincangan yang telah dilalui bersama universiti ini dapat dimuktamadkan dengan sebaiknya,” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN