SEPANG: Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila dirompak sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang di rumah mereka di Bandar Baru Salak Tinggi di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, salah seorang mangsa turut diikat sebelum perompak dipercayai warga asing itu melarikan wang tunai dan barangan peribadi bernilai RM5,000
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan G Shan Gopal berkata, ketika kejadian enam orang berada dalam rumah berkenaan termasuk seorang pembantu rumah.
Beliau berkata, hanya seorang mangsa diikat, manakala yang lain tidak dicederakan.
“Rumah mangsa dipecah masuk melalui pintu belakang sekitar pukul 3.30 pagi dan barangan peribadi seperti wang tunai serta barangan kemas telah dilarikan.
“Suspek dipercayai warganegara asing yang bergerak dalam kumpulan antara dua hingga tiga orang, bersenjatakan parang, berpakaian gelap, dan bertopeng,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, siasatan mendapati, kumpulan perompak itu menyasarkan rumah yang berhampiran dengan kawasan hutan.
Shan Gopal berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Menurutnya, pihaknya sedang giat mengesan suspek dan menasihatkan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor B Sathiyan di talian 013-2060771 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-87774222. – UTUSAN