PETALING JAYA: Perbicaraan kes berkait kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin yang memasuki hari ketujuh esok di Mahkamah Sesyen di sini diarahkan untuk dijalankan secara tertutup.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh mengarahkan tiada media dibenarkan membuat liputan ekoran dua saksi yang akan memberi keterangan esok ialah dua orang kanak-kanak.
Pada 15 Disember 2024, media melaporkan seorang kanak-kanak telah diminta oleh pihak polis untuk melakonkan semula aksi sewaktu dia bertemu dengan Zayn Rayyan kira-kira lima jam sebelum kehilangan kanak-kanak malang itu dilaporkan.
Difahamkan, lakonan semula itu dijalankan berdasarkan keterangan dua saksi kanak-kanak yang juga rakan kepada mangsa.
Sementara itu, saksi pendakwaan ke-12 hari ini, memberitahu bahawa dia ada melihat dua orang kanak-kanak berkejaran sekitar pukul 12 tengah hari di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai pada 5 Disember 2023.
Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, suri rumah, Siti Natrah Ismail, 68, berkata, dia melihat dua kanak-kanak itu semasa sedang menyidai kain di ampaian balakang rumahnya yang terletak di tingkat paling bawah blok tersebut.
Tambahnya, salah seorang daripada kanak-kanak itu memakai pakaian seragam sekolah manakala seorang lagi memakai baju putih dan berseluar hitam.
Raja Zaizul Faridah: Apa yang telah berlaku pada tarikh 5 Disember 2023 ini?
Siti Natrah: Semasa saya sedang sidai kain, saya dengar suara seorang budak sekolah menjerit. Selepas itu saya nampak seorang budak berpakaian putih dan seluar hitam berlari-lari di hadapan (apabila) dia sampai dekat anak pokok kelapa, (kanak-kanak berjau putih seluar hitam) pusing balik sebab van sekolah dah sampai.
Raja Zaizul Faridah: Dengar budak jerit itu, dia jerit macam mana?
Siti Natrah: Jerit macam main kejar-kejar.
Raja Zaizul Faridah: Puan kata ada dua orang budak, Puan nampak atau tidak muka mereka?
Siti Natrah: Saya tidak nampak.
Raja Zaizul Faridah: Budak menjerit ni, puan tahu atau tidak dia datang dari arah mana?
Siti Natrah: Datang dari arah tangga hadapan rumah menghala ke kebun (belakang kanan rumah).
Raja Zaizul Faridah: Macam mana puan tahu van sekolah dah sampai?
Siti Natrah: Masa saya hendak masuk rumah, saya sudah tidak nampak sesiapa di tangga, bermakna mereka sudah naik van sekolah.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira; kedua-duanya berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah mengabaikan Zayn Rayyan.
Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN