TELUK INTAN: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima 876,315 borang permohonan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dari Perak pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, berkata ia menunjukkan Perak menjadi antara lima negeri tertinggi yang memohon STR.
“Saban tahun, apabila tiba musim permohonan STR, Perak merupakan antara negeri tertinggi mencatatkan rekod penerimaan permohonan STR,” katanya berucap pada majlis perasmian Menara Hasil Teluk Intan di sini, hari ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian bangunan setinggi tiga tingkat bernilai RM26.3 juta itu.
Abu Tariq juga berkata, LHDN Perak telah berjaya mencapai kutipan cukai langsung yang ditetapkan sebanyak RM3.634 billion pada tahun lalu.
Beliau berkata, jumlah itu mencatatkan rekod 7.75 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, pencapaian yang direkodkan menunjukkan pentadbiran negeri yang cekap dan mapan, sekali gus mencerminkan pengurusan tata kelola keseluruhan yang baik di semua peringkat
LHDN di negeri ini.
Dalam pada itu, data yang dikeluarkan LHDN Perak menunjukkan terdapat 500,112 pembayar cukai aktif di negeri ini pada tahun lalu berbanding 419,932 pembayar cukai (2023) dan 403,700 pembayar cukai (2022).
Pembayar cukai individu mencatatkan penyumbang terbesar iaitu 425,281 orang tahun lalu berbanding 348,993 orang tahun sebelumnya serta 335,163 orang (2022).
Untuk STR pula, seramai 637,433 penerima direkodkan di Perak tahun lalu berbanding 626,100 penerima pada tahun sebelumnya serta 484,600 penerima (2022). – UTUSAN