Penyerang balai polis belajar buat bom di internet

Penyerang balai polis belajar buat bom di internet

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL - GAMBAR JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor Bharu semasa insiden 17 Mei lalu mempelajari kaedah pembuatan bom tangan dan menembak melalui internet.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan ke atas gajet individu tersebut mendapati terdapat panduan membuat bom dan menembak menggunakan pistol.

Katanya, semasa pihak polis melakukan serbuan ke rumah penyerang mendapati terdapat dua buku antaranya kitab jihad.

“Kita ambil semua ahli keluarganya sebab pada pagi kejadian apabila pihak polis pergi ke rumah, soalan pertama bapanya kepada pasukan polis adalah ‘Polis dah mati dah?’ dan ditanya lagi ‘Bagaimana mati?’.

“Apabila disebut ‘Ya sudah mati, anak pakcik yang bunuh’, (dia kata) ‘Alhamdulillah, anak saya di syurga’. Ini satu bentuk ideologi yang sangat menganjurkan kepada keganasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi penjelasan menteri berkenaan penggunaan dan perancangan kerajaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, lebih 70 pertubuhan di negara ini didapati terlibat dalam aktiviti haram dan jenayah terancang termasuk gangsterisme serta pelacuran hingga memudaratkan ketenteraman awam.

Katanya, Sosma digunakan bagi menangani aktiviti jenayah serius, kompleks dan berstruktur hingga mengancam keselamatan negara.

Katanya, Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengisytiharkan mana-mana pertubuhan sebagai menyalahi undang-undang sekiranya didapati memudaratkan keselamatan awam.

“Setakat ini 72 pertubuhan kongsi gelap telah kita senaraikan dalam seksyen tersebut dan diwartakan. Misalnya, Geng 360 Devan terlibat aktiviti pengedaran dadah dari Selatan hingga ke Pulau Pinang.

“Seramai 82 anggota kumpulan itu sudah ditangkap dan 63 sudah dituduh di mahkamah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN