MELAKA: Seorang pensyarah warga Bangladesh di sebuah universiti awam di Pantai Timur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan dua penuntut lelaki, tahun lalu.
Berdasarkan dua kertas pertuduhan, tertuduh M. Rezaul Karim, 54, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua penuntut lelaki berusia 23 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan dengan cara menyentuh dan mencubit kemaluan mangsa.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3.15 pagi dan 2.30 pagi di dalam bilik sebuah hotel dalam daerah Melaka Tengah pada 24 dan 25 Oktober 2024.
Pertuduhan dibaca dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Kedua-dua kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Norhayati Yusof tidak menawarkan sebarang jaminan tetapi menyerahkan kepada budi bicara mahkamah memandangkan tertuduh seorang warga asing.
Peguam Mohd. Faiezad Razali memohon jaminan rendah dengan alasan tertuduh telah berkahwin dan mempunyai tiga anak serta bekerja sebagai pensyarah kontrak di sebuah universiti awam di Pantai Timur malah tertuduh yang telah lima tahun tinggal di Malaysia, memberikan kerjasama yang baik kepada pegawai penyiasat.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin warga tempatan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan tarikh 27 Mac depan untuk serahan dokumen. – UTUSAN