KUALA TERENGGANU : Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu, Nasrul Hadi Saidi meninggal dunia di Hospital Tanah Merah, Kelantan dipercayai akibat serangan jantung.
Allahyarham yang berusia 48 tahun menghembuskan nafas terakhir di hospital itu kira-kira pukul 7.15 malam ini.
Penolong Pengarah YADIM Terengganu, Ali Azfar Khairul Faiz berkata, Allahyarham pengsan ketika berada dalam kereta yang dipandu isterinya petang ini.
“Mereka sekeluarga sedang dalam perjalanan pulang dari bercuti di kampung halaman Allahyarham di Kedah menuju ke Besut, Terengganu. Isteri Allahyarham menghubungi kami lewat petang ini memaklumkan suaminya tiba-tiba pengsan dan terus dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
“Namun, tidak lama selepas itu, kami dimaklumkan Allahyarham meninggal dunia sekitar waktu Maghrib tadi,” katanya,
Difahamkan, mereka pulang ke Terengganu hari ini kerana Allahyarham mahu menghadiri satu program di Pulau Perhentian, esok. – UTUSAN