PETALING JAYA: Penggubalan undang-undang mewajibkan pendidikan selama 11 tahun sehingga tamat sekolah menengah perlu dilaksanakan bagi mengatasi isu keciciran murid dan ketidakhadiran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, langkah itu akan memberi peluang lebih baik kepada pelajar untuk belajar tanpa gangguan serta menghalang majikan daripada menggaji pelajar yang masih bersekolah.
Katanya, dengan pendidikan yang wajib sehingga tamat sekolah menengah, pelajar lebih bersedia untuk menduduki SPM dengan keputusan lebih memuaskan.
“Ini kerana cadangan untuk mewajibkan kehadiran SPM tidak sesuai kerana pelajar sepatutnya diberi pilihan dalam menentukan hala tuju pendidikan mereka.
“Walaupun angka ketidakhadiran peperiksaan SPM semakin berkurangan, ia tetap membimbangkan kerana tidak mengambil kira calon yang hadir tetapi gagal dalam subjek wajib seperti Bahasa Melayu dan Sejarah, yang menyumbang kepada jumlah pelajar tidak layak menerima sijil SPM,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, seramai 8,076 calon SPM 2024 tidak hadir peperiksaan, dengan alasan utama termasuk bekerja, masalah keluarga, dan kesihatan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyatakan kebimbangan terhadap trend ini kerana ia boleh meningkatkan kadar keciciran pendidikan.
Sementara itu, menurut Anuar, masalah ketidakhadiran ini tidak boleh diselesaikan secara segera seperti menghantar wakil untuk menjemput pelajar ke dewan peperiksaan.
Sebaliknya, isu ini berpunca daripada faktor lebih mendalam, kerana ramai pelajar terpaksa bekerja untuk menyara keluarga.
“Kebanyakan pelajar yang tidak hadir SPM adalah mereka yang sudah bekerja dan merasakan pendapatan yang diperoleh lebih berbaloi berbanding menghadiri peperiksaan.
“Selain itu, ramai dalam kalangan mereka adalah pelajar yang lemah dalam akademik, yang menyebabkan motivasi untuk menduduki peperiksaan menjadi rendah,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, punca utama kelemahan akademik ini bermula sejak di peringkat sekolah rendah, terutama dalam penguasaan asas 3M (membaca, menulis, mengira).
Katanya, kelemahan ini menyebabkan pelajar sukar mengikuti pelajaran di sekolah menengah yang lebih kompleks, seterusnya mengurangkan minat dan motivasi untuk belajar.
“Oleh itu, pendekatan menyeluruh diperlukan dengan memberi tumpuan kepada peringkat awal pendidikan supaya tiada murid yang tercicir dalam penguasaan asas 3M,” katanya.
Selain faktor ekonomi dan kelemahan akademik, beliau berkata, masalah kesihatan, kematian ahli keluarga dan perpindahan ke luar negara juga menyumbang kepada ketidakhadiran dalam peperiksaan SPM.
“Oleh itu, sistem sokongan perlu pendidikan diperkukuh dengan pendekatan yang menyeluruh dan berkesan,” katanya. – UTUSAN








