KUALA LUMPUR: Seorang pemandu e-hailing yang sebelum ini tular mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan Malaysia ketika berbual dengan pelancong yang menaiki kenderaannya, didakwa di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini.
Bagaimanapun, Lim Kim Teng, 70, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan itu yang didakwa membuat kenyataan melukakan perasaan agama orang Islam di mana perbuatan itu telah dilihat pada 8 malam, 4 Jun 2024 di Pejabat Pasti, Gombak di sini.
Pertuduhan terhadap warga emas itu dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Iqbal Azman yang mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin. Peguam bela, Haijan Omar yang mewakili tertuduh tidak membantah jumlah tersebut.
Majistret Chai Guan Hook menetapkan ikat jamin sebagaimana yang dicadangkan pendakwaan dan kes akan disebut semula pada 21 Mac ini.
Sekitar Jun tahun lalu, tular satu rakaman yang memaparkan seorang pemandu e-hailing didakwa menghina agama Islam serta memburukkan Malaysia ketika berbual dengan pelancong yang menggunakan perkhidmatannya.
Berdasarkan rakaman tersebut, pemandu tersebut tidak berpuas hati kerana negara ini mengharamkan arak serta bermain judi. – UTUSAN