SHAH ALAM: Buku Pelan Induk Penjaja Shah Alam (PIPE-SA) 2025-2030 dilancarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi membentuk komuniti penjaja lebih tersusun dan berdaya saing seiring era teknologi moden.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, PIPE-SA akan dijadikan panduan perencanaan untuk perkembangan sosio-ekonomi penjaja selain dirujuk sebagai penyataan polisi pembangunan prasarana fizikal kawasan perniagaan.
“Peniaga turut menyumbang kepada sektor ekonomi negeri, jadi pentingnya ada panduan jelas supaya kita dapat santuni mereka dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kit dan Permit Bazar Ramadan 2025 dan pelancaran PIPE-SA 2025-2030 di Pusat Konvensyen MBSA, di sini semalam.
Mohd. Najwan berkata, beliau berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) lain dapat mencontohi dan mengikut jejak langkah MBSA mewujudkan pelan induk terhadap usahawan sekitar pentadbiran mereka.
“Saya difahamkan MBSA merupakan PBT pertama mewujudkan pelan induk seumpama ini, semoga ia menjadi ikutan PBT lain supaya pembangunan komuniti penjaja terus terbela.
“Saya berharap semua pihak terutama pemegang taruh berkaitan dapat memberi komitmen dan kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan semua strategi dan inisiatif yang dirangka dalam pelan ini,” katanya.
Pada majlis sama, sebanyak 1,302 permit Bazar Ramadan disampaikan pihak MBSA kepada para penjaja yang akan berniaga di sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.
Sebanyak 26 lokasi tapak bazar telah disediakan dan diuruskan secara langsung oleh MBSA dan antara lokasi tapak bazar tersebut adalah di Seksyen 6, 7, 8 dan U20.