Pegawai kanan SPRM nafi Najib punca cepat naik pangkat - Utusan Malaysia

Pegawai kanan SPRM nafi Najib punca cepat naik pangkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pegawai Kanan Bahagian Penyiasatan Tatakelola Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah (SPRM) menafikan bahawa kenaikan pangkat yang disifatkan sebagai terlalu cepat mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaliknya, Fikri Ab. Rahim yang merupakan bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM berkata, kenaikannya ditentukan oleh agensi tersebut dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

“Masa siasatan dijalankan saya sudah menjawat (gred perkhidmatan) 54. Yang dikatakan laju (kenaikan pangkat) adalah dari (gred perkhidmatan) 41 ke 54, bukannya terus ke Jusa C,” kata saksi itu ketika pemeriksaan semula oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Dalam perkhidmatan awam, kenaikan daripada Gred 41 ke Gred 54 membabitkan `lompatan’ empat gred.

Khamis lalu, Fikri menyatakan dia mula menjawat jawatan sebagai Ketua Cawangan  Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) pada 2009 sebelum dinaikkan pangkat kepada Timbalan Pengarah Bahagian Sektor AMLA selepas cawangan itu dinaik taraf.

Sekitar 2016, dia telah menjadi Pengarah pertama Bahagian AMLA dan Pelucutan Hak Harta dan gred perkhidmatannya terkini ialah Jusa C (dinaikkan pangkat pada 2017). Saksi pembelaan kelapan itu bagaimana sedang dicutikan sehingga Ogos ini.

Fikri merupakan antara lima individu daripada SPRM dan Jabatan Peguam Negara yang pergi ke Arab Saudi antara 27 hingga 29 November 2015 untuk menemu ramah Putera Arab, Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud (Putera Saud), individu yang dikatakan menandatangani surat derma Arab Saudi kepada Najib.

Turut serta dalam rombongan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki bersama Penolong Pesuruhjaya SPRM, Mohd. Nasharudin Amir dan pegawai perakam SPRM, Mohd. Hafaz Nazar serta Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mewakili Jabatan Peguam Negara.

Abu Kassim tidak meneruskan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos 2016 dan kemudian digantikan oleh Dzulkifli. 

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib pada prosiding terdahulu, saksi itu bersetuju bahawa dia merupakan individu pertama dalam kalangan rakan sekerjanya yang mencapai gred Jusa C walaupun pada ketika itu berkhidmat dalam SPRM di antara tempoh antara 10 hingga 11 tahun.

Fikri juga tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Akram bahawa kenaikan pangkatnya yang pantas adalah disebabkan sumbangannya dalam siasatan kes 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 20 Februari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN