ARAU: Pasangan kembar, Haura Aaishah Hasanuddin, 7, dan Haura Awleeya Hasanuddin, 7, teruja memulakan sesi persekolahan tahun satu bersama di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelempok, di sini.
Dua murid tersebut mencuri tumpuan pada sesi persekolahan bermula hari ini apabila mereka menjadi satu-satunya pasangan kembar tahun satu yang mendaftar di sekolah berkenaan.
Ibu pasangan itu, Hazwani Izzati Harun, 31, berkata, anaknya begitu bersemangat memulakan sesi persekolahan dan telah melakukan persiapan bersama sejak dari awal.
“Mereka sebelum ini tabika bersama dan hari ini adalah pengalaman baharu buat mereka kerana melihat suasana sekolah yang sebenar.
“Saya pilih sekolah ini sebab dulu saya juga belajar di sini, dan sekarang kalau boleh saya mahukan anak-anak pula meneruskan persekolahan di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin berkata, secara keseluruhannya, seramai 46,944 pelajar dan murid telah memulakan sesi persekolahan di Perlis pada hari ini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 19,931 adalah merupakan pelajar sekolah menengah manakala 26,982 pula murid sekolah rendah.
“Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 104 buah sekolah di negeri ini yang memulakan sesi persekolahan hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Rose Aza berkata, minggu pertama sesi persekolahan bermula pada 17 hingga 21 Feb ini juga akan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik buat murid-murid.
Katanya, program yang dirancang juga adalah bertujuan untuk mewujudkan suasana ceria, selamat dan berinformatif buat murid terlibat.
“Langkah ini juga adalah bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid daripada pelbagai latar belakang,” katanya. – UTUSAN