KUALA LUMPUR: Keikhlasan kerajaan memberi peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang terus dipersoal di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, ia selepas dakwanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang sudah memberikan maklum balas berhubung draf memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan namun sehingga kini masih belum memperoleh peruntukan itu.
“Kalau betul Ikhlas, kenapa Syed Saddiq yang dah sign, 400 hari (dan) lima kali perjumpaan (diadakan tetapi) apa pun tidak dapat. Apakah ini perpaduan?
“Ini baru seorang, kami (pembangkang) ramai-ramai, sudah pasti mereka (kerajaan) tidak pandang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 15 Oktober tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan hanya Syed Saddiq yang sudah memberikan maklum balas rasmi berhubung draf MoU tersebut.
Beliau berkata Syed Saddiq turut memohon beberapa pengubahsuaian terhadap MoU itu dan kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan perkara berkenaan.
Untuk rekod, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Ketua Whip Kerajaan sudah memberikan MoU tersebut kepada Ketua Whip pembangkang Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 15 September lalu, namun ia ditolak tanpa maklum balas. – UTUSAN










