KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegur pembangkang yang menggunakan video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) sebagai bahan untuk ‘bermain’ politik.
King Sing menjelaskan, video tersebut hanya untuk melancarkan logo VM2026 dan bukannya untuk tujuan promosi.
“Petang ini, kejap lagi saya pergi tengok (video promosi VM2026), dia baru final, baru nak keluar. Janganlah semua dipolitikkan. Video yang keluar hari itu cuma (nak tunjuk) bangunan UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) sahaja.
“Jangan salah faham, jangan buat malu kepada negara kita. Kalau (seperti ini) macam mana kita nak promosikan VM2026 bang?” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
King Sing menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang meluahkan kekecewannya kerana video yang disiarkan sebelum ini tidak menunjukkan masjid-masjid di negara ini.
Dalam pada itu, King Sing (GPS-Bintulu) berkata, beliau sudah meminta Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk lebih agresif dalam membuat promosi bagi menarik lebih banyak pelancong muslim ke negara ini.
“Sekarang CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) baharu akan duduk di kerusi itu dalam tiga bulan akan datang. Jadi kita akan lakukan promosi agresif,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, negara perlu mengakui bahawa China mempunyai pasaran yang besar dan pelancong dari negara tersebut lebih ramai datang ke Malaysia.
“Bukan hanya kedai makanan bukan muslim sahaja yang untung kerana pelancong dari China turut banyak memasuki gerai makanan muslim.
“Jadi di sebelah sana (pembangkang), marilah kita bersama-sama berkempen untuk VM2026,” katanya. – UTUSAN