KUALA LUMPUR: Sebanyak 139 tapak dengan keluasan keseluruhan 3,036.81 hektar di sini berpotensi untuk pembangunan semula dan dijadikan perumahan mampu milik pada masa hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, tapak-tapak tersebut dikenal pasti melalui Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) dan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (DPTKL2040).
“Bagi memastikan sasaran ini tercapai, Draf PTKL2040 telah memperkenalkan Zon Guna Tanah Kediaman 4 (R4) iaitu zon khusus bagi pembangunan rumah mampu milik termasuk perumahan awam, dengan keluasan 354.47 hektar.
“Selain itu, perumahan mampu milik juga dirancang di zon pembangunan kediaman berintensiti tinggi, zon perdagangan, dan zon pembangunan bercampur, dengan tambahan keluasan 253.39 hektar.
“Keluasan yang berpotensi ini adalah untuk semua jenis kategori rumah mampu milik, tidak terhad kepada projek Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) (seperti) Residensi Madani dan Rumawip sahaja,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang memintanya menyatakan keluasan keluasan tanah milik Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai rumah mampu milik.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, kerajaan menyedari bahawa sasaran menyediakan rumah mampu milik secukupnya di Kuala Lumpur tidak akan direalisasi kerana sifat industri pembinaan adalah berorientasikan keuntungan.
“Sehubungan itu, pembangunan rumah mampu milik di Kuala Lumpur akan dilaksanakan secara lebih tersusun dan inklusif, selari dengan keperluan dalam konsep Bandar Chase yang menjadi rujukan pembangunan Wilayah Persekutuan,” jelasnya.
Beliau berkata, sebanyak 80,000 unit Residensi Madani dan Rumawip dirancang untuk dibina dalam tempoh 10 tahun iaitu dari 2018 hingga 2028.
Katanya, setakat ini, 91 peratus daripada sasaran tersebut sudah berjaya dicapai iaitu dengan 72,864 unit sudah siap dibangunkan melalui 101 projek di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.
“Kejayaan ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi merupakan hasil campur tangan strategik Kerajaan, yang sentiasa mengadaptasi penyelesaian kreatif bagi memastikan pembangunan rumah mampu milik dapat direalisasikan,” katanya. – UTUSAN