Menoreh dua kebun, hasil hanya RM400

Menoreh dua kebun, hasil hanya RM400

SITI HABSAH Ahmad menoreh getah di Kampung Bukit Rang, Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang warga emas mengambil upah menoreh getah di dua kebun di Kampung Bukit Rang dekat sini, tetapi pendapatan diperolehnya amat rendah kerana harga yang tidak menentu dan kekurangan susu akibat cuaca panas.

Siti Habsah Ahmad, 60, berkata, dia menoreh di dua kebun yang masing-masing berkeluasan 0.4 hektar membabitkan 200 batang pokok untuk menampung pendapatan keluarga dan suaminya, Usin Ahmad, 70, yang bekerja mengambil upah di kebun pertanian.

“Dalam tempoh antara 15 hingga 20 hari menoreh, hasil getah buku diperoleh seberat antara 180 hingga 200 kilogram (kg) dan setelah dibahagi dua dengan pemilik kebun hasil jualan ini, saya cuma memperoleh kira-kira RM400.

“Keadaan harga tidak menentu setiap hari ketika dijual. Kadangkala harga getah buku RM3.70, RM3.80 dan paling tinggi pun cuma RM4.10 menyebabkan pendapatan saya pun tidak menentu dalam tempoh sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Siti Habsah yang merupakan antara 10 penoreh getah di kampung tersebut berkata, keadaan cuaca yang panas menyebabkan susu getah semakin berkurangan dan cepat beku, lantas menjejaskan pendapatannya.

“Dalam tempoh 20 minit menoreh, susu yang mengalir dari alur torehan mula beku dan cuma memperoleh saiz getah sekerap yang agak kecil dalam bekas,” katanya.

Menurutnya, mahu atau tidak dia perlu menoreh getah sebagai sumber pendapatan keluarga bagi berbelanja barang keperluan dapur, bayaran bil dan ubat-ubatan.

“Saya menjangkakan kemungkinan pendapatan semakin berkurangan sekiranya cuaca panas dan hal ini memberi kesan teruk perbelanjaan untuk keperluan pada bulan Ramadan tidak lama lagi dan persiapan Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN