Mekanisme penyaluran beras subsidi perlu jelas, telus

Mekanisme penyaluran beras subsidi perlu jelas, telus

PENGGUNAAN kad pengenalan juga boleh dipertimbangkan untuk memastikan bekalan subsidi diagihkan secara telus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mempersoalkan mekanisme yang akan digunakan kerajaan dalam memastikan beras subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.

Bendahari Agung FOMCA, Nur Asyikin Aminuddin mencadangkan kerajaan memanfaatkan data sedia ada daripada pusat zakat atau inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) yang dilaksanakan di Selangor sebagai panduan pengagihan.

“Namun, saya berharap data tersebut sentiasa dikemas kini bagi mengelakkan sebarang keciciran dalam kalangan penerima yang layak.

“Kaedah penggunaan kad pengenalan juga boleh dipertimbangkan untuk memastikan bekalan subsidi diagihkan secara telus dan sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, kerajaan menetapkan harga beras putih tempatan bersubsidi pada kadar RM26 bagi sekampit 10 kilogram (kg), khusus untuk keluarga miskin dan miskin tegar.

Sebanyak 24 juta kampit beras akan diedarkan melalui projek rintis bermula 1 Mac ini, dengan pemantauan berterusan oleh 1,200 anggota Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) di seluruh negara.

Nur Asyikin menegaskan kerajaan perlu memastikan tiada ketirisan atau aktiviti penjualan haram yang membolehkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap bekalan subsidi tersebut.

“Semua penjualan perlu dilakukan melalui peruncit berlesen di seluruh negara serta menerusi platform jualan rasmi seperti Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George menggesa kerajaan mengambil langkah tegas bagi mengelakkan sebarang bentuk sabotaj oleh pihak berkepentingan.

“Kita tidak mahu ia menjadi projek ‘setengah masak’ yang akhirnya mencetuskan kontroversi apabila timbul pelbagai masalah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN