Mangsa rumah terbakar angkara khianat mengharapkan bantuan

Mangsa rumah terbakar angkara khianat mengharapkan bantuan

ADNAN Hassan melihat rangka motosikalnya yang dibakar suspek sehingga menyebabkan rumahnya turut hangus terbakar di Kampung Tanah Periuk, Kupang di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Mangsa-mangsa kebakaran rumah dalam kejadian khianat membabitkan seorang suspek lelaki berharap bantuan membina semula kediaman mereka dipercepatkan pihak berkaitan.

Adnan Hassan, 40, berkata, mereka kini terpaksa menumpang di rumah keluarga setelah kediaman sendiri musnah sepenuhnya akibat dibakar suspek.

“Tak sampai sebulan lagi umat Islam akan menyambut Ramadan dan seterusnya meraikan Hari Raya Aidilfitri, jika ada rumah baharu rasa terubat sedikit hati kami yang kehilangan rumah pusaka berusia lebih 100 tahun.

“Saya harap sangat pihak kerajaan negeri atau Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) segera membantu kami membina rumah baharu untuk didiami,” katanya ketika ditemui semalam.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Baling mengarahkan seorang lelaki dipenjara 12 tahun selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan membakar lima motosikal serta beranda kayu di Kupang, sejak Disember tahun lalu.

Afif Jazimin Jamaluddin, 23, dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun bagi setiap pertuduhan dan Hakim Najwa Che Mat memerintahkan hukuman itu berjalan secara berasingan dari tarikh tangkap, 20 Januari lepas.

Lelaki terbabit diberkas polis baru-baru ini selepas disyaki terlibat membakar beberapa buah motosikal yang turut mengakibatkan kebakaran rumah dalam sembilan kejadian berasingan.

Sementara itu, Husna Shafinie Ibrahim, 29, yang tinggal di Kampung Tanah Periuk berkata, dia telah mengisi pelbagai borang termasuk permohonan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk membina semula rumah mereka yang musnah.

“Saya berharap bantuan ini disegerakan supaya kami sekeluarga dapat tinggal dalam keadaan yang lebih selesa,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×