Lima beranak masih tinggal di rumah daif

Lima beranak masih tinggal di rumah daif

NUR MAIZATOL AKMAL Ab. Shahri Falaki bersama anak-anaknya berlindung di rumah usang di Kampung Cherang Melintang, Tumpat, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Hasrat lima beranak di Kampung Cherang Melintang di sini untuk berpindah ke rumah baharu yang lebih selesa belum menjadi kenyataan kerana pembinaannya tergendala ekoran kekangan kewangan.

Ketika ini, Nur Maizatol Akmal Ab. Shahri Falaki, 37, yang menghidap strok dan suaminya, Muhamad Rizduan Shah Shafie, 35, serta tiga anak mereka berusia lima hingga 13 tahun masih berlindung di rumah lama yang serba daif.

Nur Maizatol Akmal berkata, rumah baharu itu dibina hasil daripada duit dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan ketika pandemik Covid-19.

“Semasa diserang strok, kerja-kerja pembinaan rumah sudah mencapai 70 peratus. Bagaimanapun pembinaannya tergendala disebabkan masalah kewangan termasuk tandas. Jika tandas siap, berkemungkinan besar kami dapat berpindah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nur Maizatol Akmal berkata, selepas hampir dua tahun diserang strok, dia kini hanya pulih kira-kira 50 peratus.

Katanya, tugas menguruskan rumah tangga seperti memasak dan membasuh pakaian termasuk memandikannya diuruskan oleh Muhamad Rizduan Shah sebelum suaminya itu keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kolej swasta di Pasir Pekan.

“Saya berharap sangat dapat berjalan semula dan anggota badan pulih supaya membolehkan saya melakukan kerja rumah seperti dahulu,” katanya.

Pada 8 Jun 2023, akhbar ini melaporkan, kesempitan hidup memaksa lima beranak dari Kampung Cherang Melintang menghuni sebuah rumah terbengkalai.

Lebih menyedihkan, dinding dan lantai rumah bukan sahaja usang, malah sudah reput, selain menunggu masa untuk runtuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN