TELUK INTAN: Tanggungjawab Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bukan hanya memastikan kutipan hasil cukai negara, tetapi juga penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada pembayar cukai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata menerusi inisiatif seiring dengan perubahan teknologi digital dan inovasi dalam proses percukaian, LHDN telah berjaya memperkenal pelbagai kemudahan dan saluran komunikasi yang memudahkan rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab.
“Ini merupakan usaha dan komitmen berterusan oleh kerajaan untuk memastikan sistem percukaian kita lebih mesra rakyat, efisien dan telus,” katanya dalam perutusan
sempena majlis perasmian Menara Hasil Teluk Intan di sini, hari ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian bangunan setinggi tiga tingkat bernilai RM26.3 juta itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata reformasi percukaian yang progresif dan tidak membebankan merupakan kunci kejayaan ekonomi Madani.
Beliau berkata, ekonomi Madani dirangka untuk mencapai matlamat pengembangan sumber hasil negara dan memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Justeru, katanya, sebagai tulang belakang kerajaan yang menjana sumber kewangan negara, kunci kejayaan LHDN terletak kepada keikhlasan untuk memelihara tata kelola yang baik dan bersifat adil semasa menjalankan tugas.
Beliau berharap Menara Hasil Teluk Intan itu menjadi mercu tanda kepada pencapaian bersama dalam memperkukuh sistem percukaian negara serta meningkatkan lagi taraf hidup rakyat Malaysia seiring dengan hasrat Kerajaan Madani dalam memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat. – UTUSAN