BERA: Usaha memulihkan persekitaran dan prasarana di Tasik Bera dijangka mengambil masa antara empat bulan hingga lima bulan kerana Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) pertama Malaysia itu sudah ditinggalkan lebih tujuh tahun.
Persekitaran Tasik Bera ketika ini sudah dilengkapi kemudahan asas antaranya jeti, chalet 23 bilik, ruang pejabat, kafetaria, surau dan tapak perkhemahan namun kebanyakannya sudah rosak.
Ketua Pengurusan Projek Kuantan 188, Muhammad Fakhrulhafis Mohd. Malian berkata, antara langkah pertama perlu dilakukan pihaknya selaku pengurusan baharu Tasik Bera adalah membersihkan persekitaran dan menebang pokok-pokok besar berhampiran resort serta kawasan lapang yang dijangka siap akhir bulan ini.
Katanya, tindakan berkenaan perlu diambil kerana pokok-pokok besar di tasik semula jadi terbesar negara itu boleh mendatangkan bahaya dan tumbang terutama ketika ribut.
“Kos besar juga diperlukan bagi membaik pulih dan menaik taraf resort yang kebanyakannya sudah rosak ditinggalkan dalam tempoh terlalu lama yang mengambil masa antara empat hingga lima bulan untuk siap sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhammad Fakhrulhafis berkata, Tasik Bera dijangka dapat dibuka secara rasmi pada Julai ataupun Ogos ini setelah pihak pengurusan berpuas hati dengan kemudahan yang dinaik taraf demi keselamatan pelancong.
Menurutnya, Kuantan 188 juga akan bekerjasama dengan komuniti Semelai dan Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Bera bagi menjalankan kegiatan tarikan pelancong seperti aktiviti bot dan berkayak mengelilingi Tasik Bera.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man berharap pengurusan baharu Tasik Bera dapat menghidupkan semula tasik semula jadi itu yang begitu istimewa kepada rakyat negeri ini khususnya daerah Bera.
Beliau yakin melalui usaha bersepadu Kuantan 188, Tourism Pahang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan etnik Semelai, Tasik Bera kembali ceria yang menjadi destinasi popular dikunjungi pelancong. – UTUSAN