ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki warga Singapura yang hidup mewah termasuk memiliki sebuah kereta Audi A5 dan menyewa apartmen di Forest City, dekat sini ditahan kerana disyaki mengedar dadah sejak Julai tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, suspek yang berusia 39 tahun itu ditahan di kediamannya pada pukul 8.40 malam, Rabu lalu kerana disyaki memiliki 1.72 kilogram heroin dan 67.13 gram syabu bernilai keseluruhan RM21,106.
“Siasatan awal mendapati suspek memperoleh dadah dari negara ini sebelum diedar untuk pasaran luar negara. Sekiranya kekal dalam pasaran ia boleh digunakan seramai 1,845 penagih.
“Selain dadah, polis turut menyita sebuah kereta Audi A5 berwarna hitam dan sebuah jam tangan berwarna keemasan jenama Nixon,” katanya pada sidang akhbar di Ibu ñejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Ujian urin mendapati suspek turut positif dadah jenis methamphetamine dan kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau turut memaklumkan pihaknya menahan tujuh lelaki kerana memiliki arak tidak bercukai berjumlah RM79,500 di sekitar Nusa Bestari, di sini juga pada hari sama.
Semua suspek yang ditahan berusia antara 26 hingga 46 tahun dan empat daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 530 kotak mengandungi arak pelbagai jenama serta menyita sebuah lori dan tiga buah kereta jenis Toyota Estima.
“Kesemua suspek direman hingga 24 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN