KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperoleh pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividennya melalui penjualan saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dengan harga antara RM6.80 dan RM7.70 seunit.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi saham MAHB mengatasi mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47 peratus pada 2023 menjadi antara faktor utama strategi penjualan saham.
Oleh itu, menurut beliau, tuduhan bahawa KWSP mengalami kerugian daripada penjualan ini adalah tidak berasas dan ini jelas telah ditolak oleh KWSP melalui kenyataan akhbarnya pada 12 Februari lalu.
“Berdasarkan kenyataan itu, jelas bahawa KWSP telah mencatatkan keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB dan berjaya merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023.
“Malah, telah berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi simpanan konvensional dan 5.40 peratus bagi simpanan shariah.
“Secara keseluruhan, sejak tahun 2014, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB telah mencapai nilai RM650 juta,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang mahu kementerian menjelaskan jumlah keuntungan atau kerugian yang dialami oleh KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham MAHB.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, KWSP juga telah berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus bagi Simpanan Shariah pada 2023.
“Secara keseluruhan, sejak 2014, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB telah mencapai nilai RM650 juta,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti jual beli saham MAHB dan penswastaan MAHB yang baru dimuktamadkan pada tahun ini adalah dua pelaburan yang berbeza iaitu dari segi matlamat pelaburannya dan dari segi jabatan yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan tersebut.
Jelasnya, sehingga sehingga pengumuman Tawaran Sukarela (VGO) pada 15 Mei 2024 di Bursa Malaysia, aktiviti dagangan saham MAHB oleh pengurus dana saham tersenarai berjalan mengikut mandatnya untuk menjana pulangan untuk ahli-ahli KWSP.
“KWSP mengamalkan proses tadbir urus yang tegas melalui protokol perintang maklumat atau dikenali sebagai ‘Chinese wall’ yang merupakan amalan piawaian standard dalam kalangan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan institusi kewangan.
“Di bawah protokol perintang maklumat, Jabatan Pelaburan Strategik (JPS) yang bertanggungjawab ke atas VGO MAHB ini adalah dilarang sama sekali daripada berkongsi maklumat sensitif dan bukan umum kepada Jabatan Ekuiti (IP).
“Protokol ini memastikan pemisahan maklumat agar tidak berlaku sebarang percanggahan kepentingan yang boleh membawa risiko berlakunya ‘insider trading’ yang merupakan kesalahan jenayah di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA),” katanya.
Protokol perintang maklumat tidak sewajarnya diperlekehkan kerana ia merupakan langkah kawalan penting sebagai pertahanan terhadap ‘insider trading’ seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 190, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Katanya, ‘insider trading’ merupakan satu kesalahan jenayah yang jika disabitkan boleh membawa kepada hukuman mandatori penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.
“Sekiranya KWSP menggunakan maklumat dalaman untuk membuat dagangan saham, ini boleh merosakkan integriti dan keadilan pasaran saham di Malaysia memandangkan penyertaan KWSP adalah sebanyak 38 peratus daripada keseluruhan pasaran ekuiti tersenarai domestik,” katanya. – UTUSAN