Kumpulan kartel tipuan bida dikenakan penalti sebanyak RM92.8 juta

Kumpulan kartel tipuan bida dikenakan penalti sebanyak RM92.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak lapan syarikat dikenakan penalti kewangan berjumlah RM92.8 juta selepas didapati terlibat dalam kartel tipuan bida sejak 2019.

Lapan syarikat tersebut adalah Dutamesra Bina Sdn. Bhd. (Dutamesra Bina), IDX Multi Resources Sdn. Bhd. (IDX Resources), Mangkubumi Sdn. Bhd. (Mangkubumi), Menang Idaman Sdn. Bhd. (Menang Idaman) dan Meranti Budiman Sdn. Bhd. (Meranti Idaman).

Turut terlibat sama adalah Pintas Utama Sdn. Bhd. (Pintas Utama). NYL Corporation Sdn. Bhd. (NYL Corporation) dan Kiara Kilat Sdn. Bhd. (Kiara Kilat).

Kumpulan ini terlibat dalam tipuan bida melibatkan dua tender yang dikeluarkan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu Central Spine Road; Pakej 3: Gua Musang Kelantan ke Kg Relong, Kuala Lipis Pahang Seksyen 3B dan 3C KM 180.5 FT08 ke Bulatan Gua Musang (Tender CSR: 3B & 3C) dan Central Spine Road; Pakej 3: Gua Musang Kelantan ke Kg Relong, Kuala Lipis Pahang Seksyen 3J Kampung Seberang Jelai ke Kg Relong (Tender CSR: 3J).

Selain itu, satu tender di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) iaitu Rancangan Tebatan Banjir Sungai Buloh, Selangor Darul Ehsan (Tender RTB: Sg Buloh) yang dianggarkan bernilai sekitar RM474 juta pada tahun 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail berkata, pihaknya mendapati modus operandi kumpulan kartel tersebut didalangi oleh Mangkubumi dan operasi dijalankan secara berpusat di Pintas Utama.

Kata beliau, hampir semua bukti utama ditemui di premis Pintas Utama semasa serbuan dilakukan oleh MyCC.

“Penyiasatan mendapati bahawa percaturan untuk membida tender dilakukan melalui perkongsian maklumat melalui emel, mesyuarat dan penyediaan dokumen tender secara fizikal di premis Pintas Utama.

“Modus operandi ini digunakan oleh kumpulan kartel tersebut yang melibatkan ketiga-tiga projek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar berkata, MyCC mendapati bahawa selepas IDX Multi Resources dianugerahkan projek Tender CSR: 3B & 3C, manakala Menang Idaman dianugerahkan projek Tender CSR: 3J, kedua-duanya telah subkontrak kedua-dua tender itu kepada Mangkubumi.

Katanya, Mangkubumi bertindak sebagai kontraktor utama bagi pihak IDX Multi Resources dan Menang Idaman yang seterusnya telah subkontrak tender tersebut kepada sebuah lagi perusahaan iaitu YCH Sdn. Bhd. (YCH).

“Namun, bagi Tender RTB: Sg Buloh, MyCC mendapati bahawa IDX Multi Resources, setelah dianugerahkan tender tersebut, telah subkontrak projek tersebut terus kepada YCH,” katanya.

Beliau berkata, Akta Persaingan 2010 (Akta 712) membenarkan MyCC mengenakan penalti kewangan tidak melebihi 10 peratus pusing Ganti seluruh dunia perusahaan yang terlibat.

“Berdasarkan pengiraan yang dibuat oleh MyCC, dengan mengambil kira faktor pemberatan dan mitigasi perusahaan-perusahaan yang terlibat telah dikenakan penalti kewangan sebanyak RM92.8 juta,” jelasnya.

Iskandar berkata, tipuan bida menyebabkan proses perolehan terganggu lantas meningkatkan kos yang akhirnya membebankan rakyat dan kerajaan.

Tambahnya, MyCC turut sedang giat menyiasat 13 kartel tipuan bida yang melibatkan 561 perusahaan berkaitan tender bernilai RM2.37 bilion.

“Pada masa yang sama, MyCC juga sedang menilai aduan yang membabitkan 463 perusahaan dalam tender bernilai RM9.27 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya