KPT dalam proses akhir muktamadkan dokumen PPTM 2021-2025 - Utusan Malaysia

KPT dalam proses akhir muktamadkan dokumen PPTM 2021-2025

doktor
ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi sedang dalam proses akhir untuk memuktamadkan dokumen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPTM) bagi 2021-2025.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya sudah melaksanakan 35 sesi libat urus yang melibatkan lebih 6,410 orang pemegang taruh dari pelbagai kelompok dalam dan luar ekosistem pendidikan tinggi sehingga 31 Disember lalu.

Kata beliau, lebih 1,816 orang sudah memberikan maklum balas melalui tinjauan nasional yang dilaksanakan, sekaligus menjadikan 8,226 orang pemegang taruh dilibatkan dalam pembangunan PPTM.

Katanya, objektif utamanya adalah untuk mengenal pasti isu dan cabaran daripada pelbagai perspektif dalam pendidikan tinggi.

“Sesi libat urus PPTM telah dijalankan secara menyeluruh dengan melibatkan semua pemegang taruh ekosistem pendidikan tinggi.

“Pada masa ini, KPT sedang dalam proses akhir untuk memuktamadkan dokumen PPTM dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat sebelum pelan ini diluncurkan,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Kesavan Subramaniam (PH-Sungai Siput) yang memintanya menyatakan pendekatan yang digunakan oleh KPT dalam membangunkan PPTM.

Dalam pada itu, Zambry memaklumkan bahawa pembangunan PPTM sudah dimulakan sejak Mei lalu dan didukung oleh 40 orang ahli kumpulan pakar yang berpengalaman daripada pelbagai bidang di dalam dan luar ekosistem pendidikan tinggi.

Katanya, kemajuan pembangunan tersebut turut dipantau oleh dua jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa Penasihat yang dipengerusikan oleh dirinya sendiri dan Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPT.

“Sepanjang tempoh penggubalan PPTM, pelbagai gerak kerja termasuk sesi libat urus dan proses pengumpulan data bersama pemegang taruh dilaksanakan dengan sewajarnya. 

“Sesi libat urus ini dilaksanakan melalui dua pendekatan iaitu pra pembangunan pelan untuk mendapatkan input awal dan pasca pembangunan pelan bagi membuat pengesahsahih terhadap draf pelan yang telah dibangunkan.

“Semua sesi ini dilaksanakan melalui pelbagai kaedah seperti mesyuarat, perbincangan kumpulan fokus, bengkel, seminar dan soal selidik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya