Ketua polis negeri diminta semak dakwaan dalam Edisi Siasat - Utusan Malaysia

Ketua polis negeri diminta semak dakwaan dalam Edisi Siasat

AZMI Ahmad (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa pada Majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Semua Ketua Polis Negeri diminta bertindak segera dengan menjalankan siasatan terhadap dakwaan salah laku warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didedahkan melalui media sosial termasuk akaun Telegram, Edisi Siasat.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, semakan juga perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca dakwaan tersebut disebarkan.

“Contohnya Ketua Polis Perak baharu sahaja lapor diri dan keluar isu di negeri ini, seharusnya beliau bertindak segera, lihat ada asas atau tidak dakwaan itu.

“Apabila sudah dikenal pasti tiada asas dakwaan berkenaan, kita buat pula semakan kenapa jadi begitu (timbulnya dakwaan tersebut),” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Serah Tugas Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Perak, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai trend aduan berkaitan salah laku warga PDRM yang dibuat menerusi media sosial berbanding disalurkan menerusi saluran rasmi PDRM.

Menurut beliau, dalam menyiasat sebarang isu membabitkan warga polis, beliau sendiri turun padang untuk mengesahkan dakwaan tersebut selain siasatan yang dilakukan oleh Bahagian Risikan dan Operasi JIPS.

Bagaimanapun katanya, tindakan lanjut sukar dijalankan ekoran dakwaan yang dibuat dalam saluran tersebut adalah lebih kepada surat terbuka dan tiada butiran mahupun maklumat tepat mengenai isu yang diketengahkan.

“Kalau ikut peraturan, kita tidak boleh layan jika aduan itu bersifat tohmahan, cuba menjatuhkan reputasi dan kredibiliti individu atau berunsur fitnah. Jika kita siasat dalam maklumat terhad sedangkan kekuatan telah digerakkan dan mendapati tiada asas, ia sudah tentu jadi satu pembaziran sumber.

“Sebenarnya banyak yang telah kita siasat tapi tidak dapat diteruskan dengan pertuduhan kerana tiada maklumat tepat,” katanya.

Tambahnya, dakwaan tanpa memperincikan maklumat pengadu itu telah membina persepsi buruk terhadap anggota pasukan keselamatan walaupun maklumat tersebut kebanyakannya tidak berasas.

“Contohnya kes rasuah dalam PDRM yang mana ia sangat sedikit namun persepsi yang tidak dapat dikawal disebarkan bahawa PDRM (mesti) terbabit rasuah.

“Dalam media sosial kalau sesuatu perkara itu disebut berulang, umpamanya disebut sampai 1,000 kali, seolah-olah 1,000 kali perkara (kes) itu berlaku sedangkan kejadian itu hanya sekali. Ini disebabkan oleh persepsi yang sudah dibentuk,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN