PUTRAJAYA: Malaysia dan Turkiye bertukar 11 Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor bersempena lawatan rasmi dua hari Presiden Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia bermula kelmarin.
Antara perjanjian yang dimeterai ialah dalam bidang-bidang utama seperti peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan dan kolaborasi media.
Kesemua pertukaran dokumen kerjasama disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Erdogan.
MoU dalam peralihan tenaga membabitkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turkiye, Alparslan Bayraktar.
Dalam bidang pengurusan bencana pula, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bertukar MoU dengan Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD), selain kedua-dua negara turut memeterai perjanjian dalam latihan diplomatik.
Kerjasama dalam sektor pertahanan turut diperkukuh dengan dua perjanjian utama. Pertama, perolehan kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan penubuhan Jawatankuasa Bersama bagi Produk Pertahanan di antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye, Prof. Aluk Gorgun.
Kedua, melibatkan sistem komunikasi strategik di antara Majlis Keselamatan Negara dan Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye.
Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Turkiye akan meningkatkan bidang kerjasama terutama dalam industri pertahanan dan pertukaran teknologi sekali gus mampu menambah pelaburan dan mencapai sasaran nilai dagangan melebihi AS$10 bilion.
Beliau berkata, berkata, ini termasuk memberi tumpuan dalam sektor semikonduktor, komoditi, elektrik dan elektronik, makanan dan minuman.
Selain itu, kerjasama bidang tenaga diperluaskan bersama Petronas dan syarikat-syarikat berkaitan, industri halal, kesihatan dan digital serta pengurusan bencana.
“Kami bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala dengan penubuhan Majlis Kerjasama Strategik peringkat tinggi melalui beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.
“Dengan usaha ini sasaran untuk meningkatkan pelaburan perdagangan daripada AS$5 bilion kepada AS$10 bilion mampu dicapai. Tiada sebab mengapa ekonomi yang sedang membangun seperti Malaysia dan Turkiye, tidak boleh meningkatkan perdagangan antara dua negara,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Turkiye di sini, semalam.
Dalam pada itu, Erdogan berkata, sebagai dua negara yang telah menubuhkan perkongsian strategik yang komprehensif, pihaknya akan terus meningkatkan hubungan dengan menubuhkan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi.
Dalam mesyuarat yang diadakan semalam, Turkiye menilai langkah-langkah untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia melalui 11 perjanjian yang ditandatangani untuk meningkatkan pergerakan dan kepelbagaian dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
“Saya berharap kerjasama ini akan menjadi peluang untuk model kerjasama dan projek pelaburan baharu. Kami akan terus berusaha dalam bidang industri pertahanan, pemindahan teknologi dan pengeluaran bersama.
“Syarikat-syarikat kami bersedia untuk berkongsi pengalaman dan produk mereka dengan Malaysia dalam cara yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara termasuk sektor pelancongan, budaya dan pendidikan,” katanya.
Sementara itu, Anwar ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye di sini semalam berkata, kerjasama Malaysia dan Turkiye juga tidak harus mengenepikan sektor perusahan kecil dan sederhana (PKS) selain memberi tumpuan utama kepada sektor ekonomi utama.
Perdana Menteri berkata, PKS merupakan tunjang utama dalam pertumbuhan ekonomi di negara ini.
Justeru, katanya, beliau mahu Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan The Foreign Economic Relations Board of Turkey ( DEIK) memberi tumpuan kepada sektor itu.-UTUSAN










